Asssalamualaikum,
Apa khabar semua? semoga sihat-sihat hendaknya..
Perkongsian hari ini tentang sakit dan ujian Sebagai Penghapus dosa, berdasarkan hadis-hadis nabi, supaya kita menjadi lebih positif sekiranya diuji oleh Allah dengan sakit. Lagi-lagi ketika musim Covid-19, ramai sangat telah dijangkiti, ini juga termasuk dalam kategory sakit dan ada ikhtiar yang dilakukan oleh petugas-petugas barisan hadapan untuk memastikan pesakit-pesakit ini sembuh.
Banyak hadis-hadis Nabi yang menyebutkan tentang sakit sebagai penghapus dosa, antaranya seperti hadis di bawah:
Imam al-Bukhari merekodkan satu riwayat yang bersumber daripada Abu Sa'id Khudri RA dan Abu Hurairah RA; bahawa Nabi SAW bersabda, "Tidaklah menimpa seseorang Muslim sama ada letih, sakit, kerisauan, kesedihan, kesusahan atau kebimbangan bahkan tusukan duri sekali pun melainkan Allah SWT akan menjadikan semua itu sebagai kifarah kepada dosa-dosanya."
Dalam sehari-harian hidup kita, kita tidak dapat lari dari melakukan dosa samaada secara sedar atau tidak. Kadang-kadang kita menganggap dosa yang kita lakukan ni remeh dan kita ada banyak masa lagi untuk bertaubat, kita yakin kita masih muda dan sibuk dengan urusan dunia. Kita menangguh-nangguhkan taubat kerana kita yakin masa kita masih panjang. Maka, Allah menurunkan ujian dalam pelbagai bentuk seperti yang disabda oleh Nabi SAW dalam hadis di atas sebagai kifarah kepada dosa-dosa kita. Allah ingin menghapuskan dosa-dosa kita yang banyak, bukan itu sahaja, malah mengangkat martabat kita seperti yang disebut dalam hadis di bawah.
Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Bagi setiap seorang hamba ada martabat yang tertentu di sisi Alah SWT dan apabila hamba itu tidak dapat mencapai martabat itu dengan amalannya, maka Allah SWT akan terus mengujinya dengan perkara yang tidak disenanginya (seperti sakit, susah dan sebagainya) supaya dengan perantaraan perkara yang tidak disenanginya itu dia dapat mencapai martabat berkenaan." (Hadis Riwayat Abu Ya'la)
Agama kita mengajar kita untuk berikhtiar untuk menyelesaikan dan menyembuhkan sakit kita. Walaupun kita yakin bahawa ujian atau sakit itu adalah penghapus dosa , ini tidak bermaksud kita perlu duduk diam sahaja dan tidak berikhtiar mencari penawar.
Jom hayati hadis seterusnya, ujian itu bukan sahaja penghapus dosa dan mengangkat martabat kita, malah ada ganjaran untuk setiap sakit dan kesusahan yang diterima walaupun sekecil-kecil sakit.
Saiyidatina Aisyah RA berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Mana-mana orang Islam yang terkena tusukan duri malah kesusahan yang lebih kecil daripada itu pun akan diberi ganjaran satu darjat dengan sebab kesusahan itu dan satu dosa akan dimaafkan." (Hadis Riwayat Muslim)
Nabi Ayub adalah seorang nabi yang telah diuji dengan sakit yang dahsyat dan lama, dan diceritakan di dalam AlQuran, Surah Al Anbiya': ayat 83:
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani".
Hayati doa Nabi Ayub ketika ditimpa sakit yang sangat lama, ada riwayat yang mengatakan 3 tahun, 7 tahun atau 18 tahun. Lama sangat sakit yang menimpa Nabi Ayub. Jika nak dibandingkan dengan sakit yang diri kita hadapi, kadang2 kita cuma demam, atau sakit seminggu. Nak dibandingkan sakit yang dihadapi Nabi Ayub, jauh sekali.... Sedikitpun nabi tidak mempersoalkan mengapa sakit itu ditimpa kepadanya, malah Redha dengan sakit itu. Nabi Ayub juga memuji-muji Allah dalam doanya ketika sakit. Marilah kita mencontohi Nabi Ayub, kekal memuji Allah dalam setiap masa.
Kesimpulannya, Ambillah sisi positif setiap ujian / sakit yang datang kepada kita. Banyak hikmah yang kita boleh dapat melalui sakit seperti lebih banyak masa untuk memgingati Allah, berzikir, refleksi diri tentang dosa kita yang lalu, mendengar kuliah online, rehatkan badan dari kesibukan urusan harian. Mungkin sebelum ni kita sangat sibuk sehingga kita lupa untuk berdoa kepada Allah, lalai dalam beribadah. Melalui sakitlah, Kita dapat peluang untuk perbetulkan diri kita. Sangat banyak hikmah dan ganjaran jika kita sabar dan redha, dan tidak bersangka buruk dengan Allah.
Semoga ada sedikit ilmu yang telah dipelajari dari perkongsian ni..
Terima kasih :)
No comments:
Post a Comment